Saturday, October 11, 2008

9. Tips Mendidik Anak


Menurut Pakar Motivasi Dr Hasan Hj Mohd Ali, terdapat 40 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak. Iaitu;

1) Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

2) Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

3) Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

4) Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

5) Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disaji untuk anak-anak.

6) Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

7) Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

8 ) Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

9) Kurang melahirkan kasih sayang.

10) Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

11) Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi & pulang dari sekolah.

12) Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

13) Tidak memberatkan pendidikan agama dikalangan anak-anak.

14) Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

15) Tidak programkan masa rehat dan riadah anak-anak.

16) Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

17) Mengizinkan anak menjamah makanan @ minuman yang tidak halal.

18) Tidak tunjuk contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak.

19) Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

20) Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak.

21) Tidak menggunakan bahasa yang betul.

22) Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

23) Senantiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

24) Tidak Membimbing Anak-anak supaya mematuhi syarat.

25) Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

26) Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

27) Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

28) Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak.

29) Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

30) Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

31) Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

32) Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

33) Kerap Meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak.

34) Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

35) Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

36) Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.

37) Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman keatas anak-anak.

38) Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

39) Tidak tegas mendidik anak-anak.

40) Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

Thursday, October 9, 2008

8. Mari Kita Lihat Video Keluarga Bahagia







7. Ibu Bapa Saling Berkasih Pengaruhi Akhlak Anak


IBU sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga.Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.Menjadi suami adalah mudah. Perkahwinan boleh memberikan gelaran suami tetapi, menjadi seorang bapa adalah peranan yang payah. Watak bapa tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.Bapa perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak. Ia bukan monopoli bapa tetapi menjadi tanggungjawab bersama.Semangat kebapaan perlu wujud dalam suasana keluarga. Kebapaan kepada ibu, meletakkan ibu dilihat sebagai sumber amanah.Bapa harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai.Bapa tidak boleh mengatakan dia adalah segala-gala dalam rumah tangga. Perlu ada komunikasi dan persefahaman tinggi bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga.Konflik akan berlaku jika ego bapa menyebabkan ibu sering tersinggung dan kepemimpinan keluarga menjadi monopoli bapa.Wujudkan suasana selesa dalam rumah. Pandangan ibu boleh didengar, pertanyaan anak boleh dijawab dan akhirnya bapa membuat pertimbangan serta keputusan terbaik sebagai ketua keluarga.Jika wujud pertelagahan antara bapa dan ibu, bapa harus mencari jalan penyelesaian saksama.Ego kebapaan jangan sampai si ibu memendam perasaan, takut memberi pendapat, sentiasa mengikut telunjuk bapa, bapa selamanya benar hingga menyebabkan ketegangan sering wujud dalam keluarga.Bapa perlu menyedari dirinya tidak semua sempurna. Kekurangan tetap ada. Ia memerlukan pandangan ibu dan saluran perbincangan sentiasa terbuka. Keadaan ini akan memberikan suasana melegakan dalam rumah tangga apabila pandangan terbaik diambil bagi membantu bapa untuk membuat keputusan.Ada pengalaman bapa yang tidak ada pada ibu dan pengalaman mendidik yang dilakukan ibu, tidak ada pada bapa.Selalunya banyak masa ibu bersama anak atau mengendalikan perjalanan rumah berbanding bapa. Seorang bapa yang baik selalu menginsafi bahawa fikiran ibu akan diminta dan keputusan dibuat untuk kebaikan keluarga dan anak adalah pertimbangan bersama.Pada bapa ada sifat tegas dan tangkas. Anak perlu dilatih supaya memiliki watak tegas dan tangkas. Masalah anak hari ini adalah masalah ketiadaan disiplin dan kehilangan adab. Watak bapa yang tegas harus difokuskan untuk membangun disiplin anak.Bapa perlu menjadi contoh kepada binaan disiplin ini. Jika bapa mahukan anaknya jangan merokok, bapa juga jangan merokok. Jika bapa mahukan anak menjadi berakhlak, awal pagi bapa perlu mengejutkan anak untuk bersolat Subuh dan menjadikan anak tidak lupa kepada waktu solat lain.Bapa perlu mampu membentuk adab anak mengasihi ibu bapa dan orang tua. Menghormati jiran dan rakan taulan jadikan suatu amalan. Ada rasa malu terhadap perkara terlarang. Timbulkan kecintaan kepada amalan baik. Rasa malu terhadap perkara dosa seperti bercakap bohong, menganiaya manusia dan binatang, merosakkan harta awam dan berbangga terhadap sesuatu. Sifat kebapaan yang memiliki watak tegas boleh menjadikan anak terbiasa dengan disiplin dan kelaziman hidup yang santun.Bapa juga perlu menjadikan anaknya tangkas. Ketangkasan tidak hanya terlihat pada aktiviti jasmani tetapi ketangkasan berfikir.Bapa perlu berbincang dan berkomunikasi dengan anak. Anak yang rajin bertanya memberi kesan baik ke arah ketangkasan berfikir. Anak yang kelihatan lembik pada fizikal dan lemah upaya berfikir adalah akibat tiadanya suasana di rumah yang boleh merangsang ke arah itu.Disiplin tinggi, adab baik, ketangkasan fizikal dan pemikiran adalah kunci membangun anak yang baik. Bapalah sepatutnya berperanan membentuk watak sedemikian.Kegagalan anak dewasa ini akibat daripada kealpaan bapa memberikan bimbingan dan asuhan hingga ibu melakukan segala-galanya dan bapa hanya bertugas mencari nafkah.Perlu diinsafi bahawa rumah tangga adalah tapak utama untuk asuhan dan didikan berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga bakal mencorakkan kejayaan anak di sekolah.Keciciran anak di rumah kerana kealpaan bapa dan ibu menyebabkan keciciran anak di sekolah. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat.Bapa perlu sentiasa berasakan ibu adalah harta didik yang sangat berkesan kepada anak. Menyayangi dan melindungi ibu seumpama mengasihi anak kerana ibu yang jiwanya tenang dan dikasihi bapa akan sentiasa memiliki kekuatan melaksanakan tanggungjawab mendidik.Bapa hendaklah memberikan masa berkualiti tidak saja di tempat kerja tetapi kepada isteri dan anak.Pada bapa ada hak isteri terhadapnya dan hak anak terhadapnya. Jika hak ini disempurnakan oleh bapa sebaiknya, rumah tangga dan keluarga akan menjadi bahagia dan contoh terbaik kepada orang lain.Apabila bapa melihat ibu adalah aset dan anak adalah harta, akan wujud perimbangan daripada sudut peranan dan tanggungjawab. Wang ringgit bukanlah segala-galanya untuk dicari. Jika fokus tidak diberi bapa untuk membantu ibu mendidik anak, maka kemungkinan keluarga ’kehilangan anak’ boleh berlaku.Bayangkan jika bapa tidak melakukan peranan dan tanggungjawabnya menyebabkan anak terjebak dengan amalan salah guna dadah, ia tidak boleh ditebus dengan wang ringgit lagi. Nasi sudah menjadi bubur.Anak yang terbabit dengan dadah adalah beban kepada keluarga dan negara.Begitu juga anak yang terbabit dalam kerosakan akhlak disebabkan tidak wujudnya suasana contoh di rumah. Keluarga menjadi tempat tidak selesa membentuk watak dan akhlaknya.Bapa hanya sibuk di tempat kerja atau mencari duit tambahan. Anak menjadi terbiar. Percampuran dengan rakan sebaya adalah tinggi. Akhirnya anak terjebak dengan amalan negatif dan sukar untuknya berpatah ke pangkal jalan.Bapalah watak penting yang perlu bertanggungjawab terhadap ibu dan anak. Jika peranan itu berjalan dengan baik dan saksama, ibu menjadi manusia paling gembira dan anak menjadi anggota keluarga yang amat berbahagia.

6. Didikan Awal Membentuk Sikap Dan Pergaulan Anak-Anak


SEJAK kebelakangan ini semakin ramai ibu bapa yang kurang memata-matai dan memberikan perhatian terhadap sikap dan pergaulan anak-anak. Ini bukanlah disebabkan mereka (ibu bapa) kurang berminat untuk memeduli anak-anak tetapi mereka sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan pejabat, perniagaan dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga.
Apabila kurangnya perhatian yang diberikan kepada setiap ahli keluarga, maka ia boleh menyebabkan wujudnya kelonggaran dalam ikatan kekeluargaan. Seterusnya kemesraan di antara setiap ahli keluarga tidak dapat diwujudkan, terjadinya jurang komunikasi di antara setiap ahli keluarga dan sering pula terjadi keadaan di mana anak-anak tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa. Malah juga akan membawa ke arah kelunturan perasaan dan sifat saling hormat-menghormati di antara setiap anggota keluarga terutamanya terhadap ibu bapa seterusnya akan menimbulkan sikap mementingkan diri sendiri.
Maka, bermula dari sinilah timbulnya pelbagai masalah disiplin di dalam diri setiap anggota masyarakat, di mana mereka bukan sahaja tidak mengamalkan akhlak mulia semasa di rumah tetapi juga akan terbawa-bawa sehingga ketika berada di luar rumah. Sebagai bukti, di era globalisasi telah banyak memperlihatkan anak-anak muda tidak lagi menghormati orang yang lebih tua, berpakaian tidak menutup aurat atau tidak senonoh, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, tidak jujur, tidak amanah dan sebagainya. Perkara ini turut terkandung di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Tahun Baru Masihi 2004 antara lain baginda bertitah:
"Di antara ancaman-ancaman sosial itu ialah menyangkut perkara-perkara jenayah, penyalahgunaan dadah serta pelanggaran terhadap undang-undang dan agama. Semuanya ini menjadi punca penyakit di dalam masyarakat, di mana pula akhirnya, ia boleh menyebabkan keamanan dan ketenteraman binasa.''
Namun persoalan utama ialah bagaimana cara kita hendak menyelamatkan anak-anak yang belum lagi terlibat dengan gejala-gejala tersebut, lebih-lebih lagi anak-anak yang masih kecil dan bersih dari segi pemikiran dan peribadinya bagi mengharungi cabaran hidup di era globalisasi ini? Sekiranya tiada suatu usaha yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan diri mereka, maka tidak mustahil gejala sosial masa kini akan berterusan menghantui mereka. Sanggupkah kita menyaksikan mereka menjadi penyambung kepada penagihan dadah, seks bebas dan sebagainya? Sedangkan kita perlu ingat pesanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Tidak disengat orang mukmin pada satu lubang sebanyak dua kali.''
Oleh itu, bagi menghindari gejala sosial dari terus berleluasa, maka ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini. Tetapi bagaimana caranya? Caranya ialah dengan memberikan didikan yang sempurna terhadap anak-anak sejak dari kecil lagi iaitu meliputi aspek keagamaan dan pembentukan akhlak, bak kata pepatah 'melentur bulur biarlah dari rebungnya' kerana dengan adanya kedua-dua aspek tersebut maka sikap dan pergaulan anak-anak akan terjaga serta terhindar daripada sebarang pengaruh negatif yang mampu menggugat kesejahteraan anak-anak bangsa kita.
Anak-anak yang diberi pendidikan yang baik oleh ibu bapa serta membesar dengan bersaksikan landasan Islam kepada Allah dan jiwanya terdidik dengan perasaan takut, ingat dan menyerah diri kepada Allah maka mereka akan memiliki potensi dan sikap yang baik serta sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia sebagai cara hidup. Ini kerana benteng pertahanan agama yang bertunjang pada hati sanubarinya dan keadaannya yang sentiasa mengingati Allah yang telah dihayati dalam dirinya sejak dari kecil akan membantunya dalam pergaulan serta menghindari diri dari melakukan perkara-perkara buruk dan keji yang sememangnya bertentangan dengan syariat Islam.
Kesimpulannya, peranan, perhatian, tanggungjawab, pengawasan dan didikan yang sempurna daripada ibu bapa terhadap anak-anak yang bermula dari rumah adalah amat penting sebagai bekalan hidup di hari muka kelak. Ini kerana dengan adanya pemedulian ibu bapa terhadap anak-anak sudah pasti mampu melahirkan generasi muda yang berkeperibadian mulia dan berakhlak tinggi. Hatta anak-anak adalah tulang belakang dan aset bernilai negara yang bakal mewarnai kepimpinan negara di masa hadapan, sebagaimana yang termaktub di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Sempena Sambutan Awal Tahun Baru Masihi 2002, antara lain baginda bertitah:
"Institusi kekeluargaan adalah lebih tepat untuk menjadi asas kepada pembinaan masyarakat kerana dari sinilah lahirnya individu-individu yang berpotensi, yang menjadi tulang belakang kepada negara dan bangsa. Apabila tulang belakang itu kuat maka akan kuat pulalah bangsa itu. Oleh itu sangatlah mustahak setiap keluarga memiliki tanggungjawab moral bagi sama-sama merancang untuk melahirkan generasi yang berakhlak serta berakidah sempurna. Hanya dengan ini kita akan mendapati jalan keluar memperoleh apa-apa yang tidak mudah untuk diperolehi sekarang seperti ketenteraman pada jiwa, keamanan dan keharmonian yang sebenar-benarnya.''

5. Awasi Tingkah Laku Dan Pergaulan Kanak-Kanak


HARI ini pelbagai gejala negatif seperti sumbang mahram, perlakuan liar, pergaulan bebas di kalangan remaja, penagihan dadah dan sebagainya melanda generasi muda. Dari situ ia menarik minat pelbagai pihak untuk memperkatakan mengenai isu tersebut, malah masing-masing menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain tetapi gejala negatif di kalangan remaja atau muda-mudi hari ini terus bertambah.
Dalam hal seperti ini siapa patut dipertanggungjawabkan? Anak ataupun ibu bapa? Perkara sebegini sering terjadi apabila tingkah laku dan pergaulan anak-anak semakin tidak terkawal dan mula bebas melakukan apa saja asalkan mereka mendapat kepuasan. Malah dari tingkah laku tersebut ibu bapa mula bimbang dan barulah timbul kesedaran di kalangan mereka.
Ibu bapa memegang peranan penting dalam mencorak, mengawasi tingkah laku dan pergaulan anak-anak dari sejak mereka lahir hinggalah dewasa, akil baligh dan matang sepenuhnya. Tugas mendidik anak merupakan satu cabaran yang amat besar khususnya bagi ibu bapa apatah lagi cabaran tersebut semakin mencabar apabila kita melangkah ke era globalisasi yang banyak pengaruhnya dari segi media massa, media elektronik mahupun ledakan teknologi canggih masa kini. Tugas para ibu bapa semakin berat dirasakan malah ianya memerlukan kebijaksanaan mereka mengawal anak-anak di mana saja mereka berada.
Jika dilihat masa kini, ada sebahagian ibu bapa yang hanya 'lepas tangan' saja. Mana tidaknya untuk memenuhi hasrat anak-anak, mereka dibiar lepas begitu saja dengan meninggalkan mereka di pusat membeli-belah mahupun di kedai-kedai komputer. Dari situ, anak-anak yang muda belia mula bergaul bebas dengan rakan sebaya mereka. Apa yang mereka buat kita tidak tahu, malah ianya jauh dari pengawasan mata para ibu bapa.
Perkara sedemikian tidak semuanya memberi impak negatif, asalkan kita pandai memainkan peranan yang sewajarnya, seperti luaskan pengetahuan ibu bapa dengan mengetahui dengan siapakah anak-anak bergaul? Apa yang mereka buat dan seumpamanya. Dari sini, pengawasan terhadap anak-anak akan lebih teratur dan jangan dilupa beri pengisian pendidikan yang sempurna sama ada dari segi jasmani, rohani dan akhlak yang mulia ke dalam jiwa mereka.
Ajar mereka dengan kehidupan positif yang mana disarankan agar ibu bapa menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan hidup supaya kehidupan anak-anak 'terbatas'. Tanpa ilmu dan kesabaran mendidik serta mengasuh anak-anak mereka akan mudah menjurus kepada pengabaian. Anak-anak yang terbiar tanpa pendidikan dan pengawasan yang sempurna akan mendatangkan impak yang besar bukan sahaja kepada keluarga malah masyarakat, bangsa, negara dan agama.
Untuk itu, awasi anak-anak kita di mana saja mereka berada kerana anak adalah anugerah dan rezeki yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada sekalian umat manusia. Anak juga dianggap harta yang tidak ternilai harganya bahkan juga dianggap sebagai 'bekal' di hari tua, setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Anak yang beriman dan salih akan mendoakan kebahagiaan kedua-duanya nanti. Justeru itu, hiasilah anak-anak kita dengan pendidikan yang seimbang dunia dan akhirat, manakala ibu bapa pula menjadi 'role model' ataupun idola kepada mereka dalam membentuk anak-anak yang bertanggungjawab dan memastikan mereka berjalan di atas landasan yang betul.

4. Pentingnya Mendidik Anak Dengan Disiplin

KEHIDUPAN ini bukan mudah dan gelombang yang perlu diredai pada masa kini, justeru ibu bapa perlu bijak ketika menimang anak, dada mesti berisi ilmu agar anak dapat ditimang dan dibimbing menjadi anak yang salih dan salihah.
Mendidik anak ibarat mereka mencipta pasu daripada tanah liat, ia perlu dicanai dan dibentuk ketika tanah masih basah dan licak untuk mendapat hasil bentuk pasu yang sempurna dan cantik, sebagaimana membentuk peribadi dan tingkah laku anak juga perlu dilakukan pada usia awal, ketika masih anak damit, peringkat kanak-kanak, remaja mahupun dewasa jika sewaktu kecil diabai-abaikan sukarlah mengatur mereka apabila dewasa nanti.
Begitu juga sebaliknya setiap tahap kehidupan anak ibarat lembaran benang ia lebih kukuh setelah ditenun menjadi kain, sebagaimana ibu bapa mendidik anaknya menjadi orang yang berguna di masa akan datang.
Proses pembentukan personaliti menerusi kemahiran ini akan berlanjutan hingga mereka dewasa. Selepas memasuki alam persekolahan bermulalah tahap kedua, pengaruh dari luar rumah, pergaulan bebas, memakan ganja, pil khayal dan bermacam-macam lagi perkara-perkara yang tidak sihat.
Bagaimanapun pastikan anak sentiasa dibimbing oleh kedua-dua ibu bapa pada tahap pertama kehidupan mereka bagi menjamin kemahiran yang terbentuk dapat dijalin dengan sempurna menjadi asas personaliti yang sihat. Di rumah adalah sekolah pertama bagi ibu bapa mengajar anak mereka mengenai kehidupan, membentuk tingkah laku dan cara pemikiran, persekitaran juga penting mempengaruhi pembentukan peribadi dan tingkah laku anak. Pastikan pemikiran anak lebih bijak dalam kehidupan bagi melengkapkan pembentukan fizikal dan mental.
Ibu bapa sentiasa memberi kasih sayang dan layanan kemesraan kepada anak-anak kita agar tidak timbul rasa pilih kasih dan ibu bapa juga perlu menunjukkan rasa hormat dan keriangan pada penghuni-penghuni lain dalam rumah untuk membentuk tingkah laku anak agar bersopan dan berbudi bahasa. Cara hidup dan kebiasaan di dalam rumah membentuk budaya sampingan yang menjadi ikutan anak-anak kalau ibu bapa mengamalkan cara hidup bersih dan kuat berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Islam serta meninggalkan segala larangan-Nya, insya-Allah anak kita akan mengikut dan selamat di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun belum terlewat untuk menyelamatkan anak-anak kita dari berlakunya perkara yang memalukan kepada kedua-dua ibu bapa dan seluruh masyarakat. Sebagai orang yang membawa anak ke dunia, ibu bapa memikul sebahagian besar beban kewajipan. Anak bukan sekadar zuriat tapi adalah anugerah Allah untuk menyerikan suasana dalam rumah. Ibu bapa sebagai tunjang masyarakat dan negara memegang amanah besar untuk memastikan anak dididik dengan sempurna dengan seberapa banyak nilai-nilai terpuji yang antaranya sayang-menyayangi, bertanggungjawab, berdisiplin, sopan berbudi, beriman, pandai menilai baik dan buruk, menghormati sesama manusia dan menghargai nilai serta menjaga maruah diri.
Memang tugas ibu bapa mengawal dan bertanggungjawab mendidik anak-anak hingga mereka menjadi anak yang berguna pada bangsa dan negara. Ibu bapa juga harus bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala selama ini kerana anak mereka mengikut jejak mereka selain ibu bapa turut gembira melihat anaknya disegani dan dihormati, kalau bukan ibu bapa yang mendidik dan mengawasi pergerakan anaknya dari awal hingga mencapai kejayaan.
Menjalin ikatan keluarga yang diselubungi kasih sayang dan keimanan mampu menghindari banyak perkara buruk. Anak yang diasuh begitu tidak mudah terpedaya, ke mana jua tercampaknya tidak mudah dipengaruhi gejala negatif atau melukai hati orang tua. Ibu bapa mesti meluangkan waktu untuk anak sesibuk mana sekalipun agar anak kita merasa dirinya tidak tersisih dan tidak dipedulikan sama sekali.
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan perlu melatih diri menggemari tanggungjawab ini seandainya sentiasa berusaha memahami perangai mereka pasti anak juga akan berusaha memahami kedua-dua ibu bapa apabila sudah tua nanti.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Ibu bapa meletakkan tanggungjawab memberi pendidikan, mengajar, mengasuh dan memberikan ilmu pengetahuan kepada tiap-tiap anak yang akan lahir nanti. Sejak lahir ke dunia ini adalah rumah tangga dan gurunya yang pertama ialah ibu bapanya sendiri. Maka ibu bapalah orang yang mula-mula sekali yang berkewajipan mendidik dan memberi pelajaran secara formal atau tidak formal kepada anak-anak mereka. Hakikat kenyataan ini jelas kelihatan.''

3. RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
Mata pelajaran : Bahasa Melayu
Tahun : 3 Canggih
Tarikh : 16 Mac 2008
Masa : 60 minit
Bilangan murid : 28 orang
Tajuk : Keluarga Lina
Objektif : Pada akhir pelajaran, murid dapat:
i. Membaca petikan bertajuk “Keluarga Lina” dengan sebutan dan intonasi yang betul
ii. Memberikan maklumat yang tersurat atau tersirat dalam petikan yang telah disediakan
iii.Mengenalpasti kata nama khas, kata nama am, kata hubung, kata adjektif, kata kerja, ayat majmuk, ayat tunggal.


Fokus utama :
5.1 Membaca perkataan dengan kuat dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan
memahami perkara yang dibaca.
Aras : 1 (i) membaca petikan dengan sebutan dan intonasi yang betul dan menarik.
Fokus sampingan :
7.1 Membaca dan menerangkan maksud kandungan teks yang tersurat dan tersirat
Aras : 1 (i) menerangkan maklumat yang tersurat dan tersirat tentang pengalaman
sedia ada.

Kemahiran bahasa : mendengar dan bertutur, membaca dan menulis
Sistem bahasa : 1. Morfologi : Kata nama khas, kata nama am, kata hubung, kata adjektif
kata kerja,
2. Sintaksis : Ayat tunggal, ayat majmuk, ayat tanya
3. Kosa kata : tanggungjawab, mendidik, gotong-royong, cemerlang,
beruntung, membimbing
Pengisian Kurikulum :
a. Ilmu Kekeluargaan, Biologi, Moral
b. Nilai murni : hormat-menghormati, bahagia, kasih sayang, bekerjasama
c. Kemahiran bernilai tambah :
-Kemahiran berfikir : menghubungkait, menganalisis, penyelesaian masalah
-kecerdasan pelbagai : imaginasi, muzik
-strategi : kontektual, direktif, metakognitif
Pengetahuan sedia ada
Ada: berlaku pada diri sendiri
- membina ayat
- mempunyai keluarga sendiri

Bahan Bantu Belajar : Lagu Saujana-Keluarga Bahagia
Petikan keluarga Lina
Lembaran Pengurusan Grafik
Teka silang kata
Instrumen Penilaian Kemahiran Menulis


LANGKAH/
MASA
ISI PELAJARAN
AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
CATATAN

Set induksi
( 5 minit )
Soalan :
1. Adakah kamu mempunyai keluarga?
2. Berapakah bilangan keluarga kamu?
3. Apakah aktiviti yang kamu lakukan bersama keluarga pada hujung minggu?
· Guru memperdengarkan lagu Keluarga Bahagia dan meminta pelajar menyanyi bersama-sama
· Guru dan murid bersoal jawab tentang keluarga
· Guru mengaitkan tajuk pelajaran
BBM:
Lagu Keluarga Bahagia
Lirik lagu
Komputer/LCD
Nilai :
Kasih sayang
Hormat menghormati

Langkah 1
( 15 minit )
Petikan Keluarga Lina
( Rujuk Lampiran A)
· Murid diperdengarkan bacaan petikan
· Murid diminta membaca petikan secara beramai-ramai
· Beberapa orang wakil murid diminta untuk membaca petikan
· Guru dan murid bersoal jawab tentang isi petikan
BBM:
Petikan Keluarga Lina
Strategi :
Direktif kontekstual

Langkah 2
( 20 minit )
Kad-kad Arahan :
( Rujuk Lampiran B )

Kumpulan 1 & 2 :
Menyusun dan menulis ayat-ayat yang sesuai mengikut urutan isi
Kumpulan 3 & 4 :
Membina 5 ayat berdasarkan petikan yang diberikan
· Kelas dibahagikan kepada 4 kumpulan
· Setiap kumpulan diminta menyelesaikan tugasan yang diberi berdasarkan kad-kad arahan
· Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan di hadapan kelas
KB :
Penyelesaian Masalah
KP :
Verbal linguistik
BBB :
Kad-kad arahan
Strategi :
Kontekstual Metakognitif

Nilai :
Kerjasama
Berkeyakinan

Langkah 3
( 15 minit )
Menjawab teka silang kata
( Rujuk lampiran C )
· Guru mengedarkan borang teka silang kata
· Guru memberi penerangan kepada murid apa yang perlu dilakukan
· Guru meminta murid menyelesaikan teka silang kata mengikut urutan nombor yang telah ditetapkan
· Guru dan murid berbincang jawapan teka silang kata
Strategi :
Kontekstual metakognitif
Kb :
Penyelesaian masalah

Penutup
( 5 minit )
Penutup kognitif :
Apakah yang telah kamu pelajari sebentar tadi?
Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada pelajaran hari ini?

Penutup sosial :
Penutup ( 5 minit )
· Murid diminta menyatakan perkara-perkara yang telah dipelajari
· Guru membuat penutup sosial

Kerja rumah : Membuat karangan pendek tentang keluarga saya pada buku kefahaman

Nilai murni :
Kasih sayang
Hormat- menghormati
Mengenang jasa ayah dan ibu

Refleksi/Ulasan
Sesi pembelajaran hari ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ingin dicapai. Selain itu, pembelajaran ini mudah dilakukan kerana murid mempunyai pengalaman yang sedia ada. Dengan penerapan nilai yang ditegaskan oleh guru membuatkan murid dapat kesedaran sivik secara langsung seperti menghormati orang yang lebih tua dan mengenang jasa kedua ibu bapa mereka.