Thursday, October 9, 2008

6. Didikan Awal Membentuk Sikap Dan Pergaulan Anak-Anak


SEJAK kebelakangan ini semakin ramai ibu bapa yang kurang memata-matai dan memberikan perhatian terhadap sikap dan pergaulan anak-anak. Ini bukanlah disebabkan mereka (ibu bapa) kurang berminat untuk memeduli anak-anak tetapi mereka sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan pejabat, perniagaan dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga.
Apabila kurangnya perhatian yang diberikan kepada setiap ahli keluarga, maka ia boleh menyebabkan wujudnya kelonggaran dalam ikatan kekeluargaan. Seterusnya kemesraan di antara setiap ahli keluarga tidak dapat diwujudkan, terjadinya jurang komunikasi di antara setiap ahli keluarga dan sering pula terjadi keadaan di mana anak-anak tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa. Malah juga akan membawa ke arah kelunturan perasaan dan sifat saling hormat-menghormati di antara setiap anggota keluarga terutamanya terhadap ibu bapa seterusnya akan menimbulkan sikap mementingkan diri sendiri.
Maka, bermula dari sinilah timbulnya pelbagai masalah disiplin di dalam diri setiap anggota masyarakat, di mana mereka bukan sahaja tidak mengamalkan akhlak mulia semasa di rumah tetapi juga akan terbawa-bawa sehingga ketika berada di luar rumah. Sebagai bukti, di era globalisasi telah banyak memperlihatkan anak-anak muda tidak lagi menghormati orang yang lebih tua, berpakaian tidak menutup aurat atau tidak senonoh, pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, tidak jujur, tidak amanah dan sebagainya. Perkara ini turut terkandung di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Tahun Baru Masihi 2004 antara lain baginda bertitah:
"Di antara ancaman-ancaman sosial itu ialah menyangkut perkara-perkara jenayah, penyalahgunaan dadah serta pelanggaran terhadap undang-undang dan agama. Semuanya ini menjadi punca penyakit di dalam masyarakat, di mana pula akhirnya, ia boleh menyebabkan keamanan dan ketenteraman binasa.''
Namun persoalan utama ialah bagaimana cara kita hendak menyelamatkan anak-anak yang belum lagi terlibat dengan gejala-gejala tersebut, lebih-lebih lagi anak-anak yang masih kecil dan bersih dari segi pemikiran dan peribadinya bagi mengharungi cabaran hidup di era globalisasi ini? Sekiranya tiada suatu usaha yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan diri mereka, maka tidak mustahil gejala sosial masa kini akan berterusan menghantui mereka. Sanggupkah kita menyaksikan mereka menjadi penyambung kepada penagihan dadah, seks bebas dan sebagainya? Sedangkan kita perlu ingat pesanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:
"Tidak disengat orang mukmin pada satu lubang sebanyak dua kali.''
Oleh itu, bagi menghindari gejala sosial dari terus berleluasa, maka ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini. Tetapi bagaimana caranya? Caranya ialah dengan memberikan didikan yang sempurna terhadap anak-anak sejak dari kecil lagi iaitu meliputi aspek keagamaan dan pembentukan akhlak, bak kata pepatah 'melentur bulur biarlah dari rebungnya' kerana dengan adanya kedua-dua aspek tersebut maka sikap dan pergaulan anak-anak akan terjaga serta terhindar daripada sebarang pengaruh negatif yang mampu menggugat kesejahteraan anak-anak bangsa kita.
Anak-anak yang diberi pendidikan yang baik oleh ibu bapa serta membesar dengan bersaksikan landasan Islam kepada Allah dan jiwanya terdidik dengan perasaan takut, ingat dan menyerah diri kepada Allah maka mereka akan memiliki potensi dan sikap yang baik serta sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia sebagai cara hidup. Ini kerana benteng pertahanan agama yang bertunjang pada hati sanubarinya dan keadaannya yang sentiasa mengingati Allah yang telah dihayati dalam dirinya sejak dari kecil akan membantunya dalam pergaulan serta menghindari diri dari melakukan perkara-perkara buruk dan keji yang sememangnya bertentangan dengan syariat Islam.
Kesimpulannya, peranan, perhatian, tanggungjawab, pengawasan dan didikan yang sempurna daripada ibu bapa terhadap anak-anak yang bermula dari rumah adalah amat penting sebagai bekalan hidup di hari muka kelak. Ini kerana dengan adanya pemedulian ibu bapa terhadap anak-anak sudah pasti mampu melahirkan generasi muda yang berkeperibadian mulia dan berakhlak tinggi. Hatta anak-anak adalah tulang belakang dan aset bernilai negara yang bakal mewarnai kepimpinan negara di masa hadapan, sebagaimana yang termaktub di dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Sempena Sambutan Awal Tahun Baru Masihi 2002, antara lain baginda bertitah:
"Institusi kekeluargaan adalah lebih tepat untuk menjadi asas kepada pembinaan masyarakat kerana dari sinilah lahirnya individu-individu yang berpotensi, yang menjadi tulang belakang kepada negara dan bangsa. Apabila tulang belakang itu kuat maka akan kuat pulalah bangsa itu. Oleh itu sangatlah mustahak setiap keluarga memiliki tanggungjawab moral bagi sama-sama merancang untuk melahirkan generasi yang berakhlak serta berakidah sempurna. Hanya dengan ini kita akan mendapati jalan keluar memperoleh apa-apa yang tidak mudah untuk diperolehi sekarang seperti ketenteraman pada jiwa, keamanan dan keharmonian yang sebenar-benarnya.''

No comments: