Thursday, October 9, 2008

5. Awasi Tingkah Laku Dan Pergaulan Kanak-Kanak


HARI ini pelbagai gejala negatif seperti sumbang mahram, perlakuan liar, pergaulan bebas di kalangan remaja, penagihan dadah dan sebagainya melanda generasi muda. Dari situ ia menarik minat pelbagai pihak untuk memperkatakan mengenai isu tersebut, malah masing-masing menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain tetapi gejala negatif di kalangan remaja atau muda-mudi hari ini terus bertambah.
Dalam hal seperti ini siapa patut dipertanggungjawabkan? Anak ataupun ibu bapa? Perkara sebegini sering terjadi apabila tingkah laku dan pergaulan anak-anak semakin tidak terkawal dan mula bebas melakukan apa saja asalkan mereka mendapat kepuasan. Malah dari tingkah laku tersebut ibu bapa mula bimbang dan barulah timbul kesedaran di kalangan mereka.
Ibu bapa memegang peranan penting dalam mencorak, mengawasi tingkah laku dan pergaulan anak-anak dari sejak mereka lahir hinggalah dewasa, akil baligh dan matang sepenuhnya. Tugas mendidik anak merupakan satu cabaran yang amat besar khususnya bagi ibu bapa apatah lagi cabaran tersebut semakin mencabar apabila kita melangkah ke era globalisasi yang banyak pengaruhnya dari segi media massa, media elektronik mahupun ledakan teknologi canggih masa kini. Tugas para ibu bapa semakin berat dirasakan malah ianya memerlukan kebijaksanaan mereka mengawal anak-anak di mana saja mereka berada.
Jika dilihat masa kini, ada sebahagian ibu bapa yang hanya 'lepas tangan' saja. Mana tidaknya untuk memenuhi hasrat anak-anak, mereka dibiar lepas begitu saja dengan meninggalkan mereka di pusat membeli-belah mahupun di kedai-kedai komputer. Dari situ, anak-anak yang muda belia mula bergaul bebas dengan rakan sebaya mereka. Apa yang mereka buat kita tidak tahu, malah ianya jauh dari pengawasan mata para ibu bapa.
Perkara sedemikian tidak semuanya memberi impak negatif, asalkan kita pandai memainkan peranan yang sewajarnya, seperti luaskan pengetahuan ibu bapa dengan mengetahui dengan siapakah anak-anak bergaul? Apa yang mereka buat dan seumpamanya. Dari sini, pengawasan terhadap anak-anak akan lebih teratur dan jangan dilupa beri pengisian pendidikan yang sempurna sama ada dari segi jasmani, rohani dan akhlak yang mulia ke dalam jiwa mereka.
Ajar mereka dengan kehidupan positif yang mana disarankan agar ibu bapa menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan hidup supaya kehidupan anak-anak 'terbatas'. Tanpa ilmu dan kesabaran mendidik serta mengasuh anak-anak mereka akan mudah menjurus kepada pengabaian. Anak-anak yang terbiar tanpa pendidikan dan pengawasan yang sempurna akan mendatangkan impak yang besar bukan sahaja kepada keluarga malah masyarakat, bangsa, negara dan agama.
Untuk itu, awasi anak-anak kita di mana saja mereka berada kerana anak adalah anugerah dan rezeki yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada sekalian umat manusia. Anak juga dianggap harta yang tidak ternilai harganya bahkan juga dianggap sebagai 'bekal' di hari tua, setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Anak yang beriman dan salih akan mendoakan kebahagiaan kedua-duanya nanti. Justeru itu, hiasilah anak-anak kita dengan pendidikan yang seimbang dunia dan akhirat, manakala ibu bapa pula menjadi 'role model' ataupun idola kepada mereka dalam membentuk anak-anak yang bertanggungjawab dan memastikan mereka berjalan di atas landasan yang betul.

No comments: