Thursday, October 9, 2008

4. Pentingnya Mendidik Anak Dengan Disiplin

KEHIDUPAN ini bukan mudah dan gelombang yang perlu diredai pada masa kini, justeru ibu bapa perlu bijak ketika menimang anak, dada mesti berisi ilmu agar anak dapat ditimang dan dibimbing menjadi anak yang salih dan salihah.
Mendidik anak ibarat mereka mencipta pasu daripada tanah liat, ia perlu dicanai dan dibentuk ketika tanah masih basah dan licak untuk mendapat hasil bentuk pasu yang sempurna dan cantik, sebagaimana membentuk peribadi dan tingkah laku anak juga perlu dilakukan pada usia awal, ketika masih anak damit, peringkat kanak-kanak, remaja mahupun dewasa jika sewaktu kecil diabai-abaikan sukarlah mengatur mereka apabila dewasa nanti.
Begitu juga sebaliknya setiap tahap kehidupan anak ibarat lembaran benang ia lebih kukuh setelah ditenun menjadi kain, sebagaimana ibu bapa mendidik anaknya menjadi orang yang berguna di masa akan datang.
Proses pembentukan personaliti menerusi kemahiran ini akan berlanjutan hingga mereka dewasa. Selepas memasuki alam persekolahan bermulalah tahap kedua, pengaruh dari luar rumah, pergaulan bebas, memakan ganja, pil khayal dan bermacam-macam lagi perkara-perkara yang tidak sihat.
Bagaimanapun pastikan anak sentiasa dibimbing oleh kedua-dua ibu bapa pada tahap pertama kehidupan mereka bagi menjamin kemahiran yang terbentuk dapat dijalin dengan sempurna menjadi asas personaliti yang sihat. Di rumah adalah sekolah pertama bagi ibu bapa mengajar anak mereka mengenai kehidupan, membentuk tingkah laku dan cara pemikiran, persekitaran juga penting mempengaruhi pembentukan peribadi dan tingkah laku anak. Pastikan pemikiran anak lebih bijak dalam kehidupan bagi melengkapkan pembentukan fizikal dan mental.
Ibu bapa sentiasa memberi kasih sayang dan layanan kemesraan kepada anak-anak kita agar tidak timbul rasa pilih kasih dan ibu bapa juga perlu menunjukkan rasa hormat dan keriangan pada penghuni-penghuni lain dalam rumah untuk membentuk tingkah laku anak agar bersopan dan berbudi bahasa. Cara hidup dan kebiasaan di dalam rumah membentuk budaya sampingan yang menjadi ikutan anak-anak kalau ibu bapa mengamalkan cara hidup bersih dan kuat berpegang teguh dengan ajaran-ajaran Islam serta meninggalkan segala larangan-Nya, insya-Allah anak kita akan mengikut dan selamat di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun belum terlewat untuk menyelamatkan anak-anak kita dari berlakunya perkara yang memalukan kepada kedua-dua ibu bapa dan seluruh masyarakat. Sebagai orang yang membawa anak ke dunia, ibu bapa memikul sebahagian besar beban kewajipan. Anak bukan sekadar zuriat tapi adalah anugerah Allah untuk menyerikan suasana dalam rumah. Ibu bapa sebagai tunjang masyarakat dan negara memegang amanah besar untuk memastikan anak dididik dengan sempurna dengan seberapa banyak nilai-nilai terpuji yang antaranya sayang-menyayangi, bertanggungjawab, berdisiplin, sopan berbudi, beriman, pandai menilai baik dan buruk, menghormati sesama manusia dan menghargai nilai serta menjaga maruah diri.
Memang tugas ibu bapa mengawal dan bertanggungjawab mendidik anak-anak hingga mereka menjadi anak yang berguna pada bangsa dan negara. Ibu bapa juga harus bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala selama ini kerana anak mereka mengikut jejak mereka selain ibu bapa turut gembira melihat anaknya disegani dan dihormati, kalau bukan ibu bapa yang mendidik dan mengawasi pergerakan anaknya dari awal hingga mencapai kejayaan.
Menjalin ikatan keluarga yang diselubungi kasih sayang dan keimanan mampu menghindari banyak perkara buruk. Anak yang diasuh begitu tidak mudah terpedaya, ke mana jua tercampaknya tidak mudah dipengaruhi gejala negatif atau melukai hati orang tua. Ibu bapa mesti meluangkan waktu untuk anak sesibuk mana sekalipun agar anak kita merasa dirinya tidak tersisih dan tidak dipedulikan sama sekali.
Mendidik anak memerlukan kesabaran dan perlu melatih diri menggemari tanggungjawab ini seandainya sentiasa berusaha memahami perangai mereka pasti anak juga akan berusaha memahami kedua-dua ibu bapa apabila sudah tua nanti.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Ibu bapa meletakkan tanggungjawab memberi pendidikan, mengajar, mengasuh dan memberikan ilmu pengetahuan kepada tiap-tiap anak yang akan lahir nanti. Sejak lahir ke dunia ini adalah rumah tangga dan gurunya yang pertama ialah ibu bapanya sendiri. Maka ibu bapalah orang yang mula-mula sekali yang berkewajipan mendidik dan memberi pelajaran secara formal atau tidak formal kepada anak-anak mereka. Hakikat kenyataan ini jelas kelihatan.''

No comments: